Assalamualaikum ...
Zulhijah datang lagi. Alhamdulillah kita masih di sini, masih diberi kesempatan oleh Allah untuk menghirup udara yang segar ini dan menikmati keindahan alam ini. Saya begitu bersyukur kerana diberi kesempatan untuk meraikan hari ini.
Umumnya hari ini 16 November 2010, seluruh umat Islam di mana jua berada bersama saudara muslimin kita yang sedang menunaikan ibadat Haji, di Kota Suci Mekah, menyambut Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Korban. Umumnya mengetahui, selepas sembahyang sunat hari raya, penyembelihan korban akan dilaksanakan untuk memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim dan keluarga, yang telah melakukan pengorbanan demi menjunjung terhadap perintah Allah Subhanahu Wataala. Pengorbanan menjadi ujian kepada umat manusia, sejauh manakah mereka itu beriman dan mengabdikan diri kepada Allah Subhanahu Wataala yang menjadikan, yang memberikan rezeki dan segala nikmat yang tidak terkira banyaknya kepada kita.
Salah satu ibadat yang sangat dianjurkan semasa menyambut Hari Raya Aidiladha ini ialah berkorban iaitu menyembelih haiwan seperti kambing, lembu, kerbau atau unta. Seekor kambing untuk seorang, seekor lembu, kerbau atau unta untuk tujuh orang. Penyembelihan korban biasanya dilakukan selepas selesai solat Aidiladha.
Bila berbicara tentang korban, pasti di kalangan kita akan teringatkan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim. Di mana Allah SWT telah menguji sejauh mana keimanan dan kesetiaan Nabi Ibrahim. Baginda bermimpi bahawa Allah SWT memerintahkannya untuk menyembelih puteranya Nabi Ismail, yang pada waktu itu berusia 13 tahun. Sebagai manusia biasa, alangkah beratnya bagi Nabi Ibrahim untuk mengorbankan satu-satunya puteranya itu, lebih-lebih lagi setelah berusia 60 tahun, barulah baginda mendapat seorang utera hasil perkahwinannya dengan Siti Hajar.
Nabi Ibrahim menyampaikan kepada puteranya, Ismail mengenai mimpinya itu, seperti yang disebutkan dalam Al-Quran:-
Firman Allah SWT dalam surah Ash-Shaaffat, ayat 102 yang bermaksud:-
Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpiku, bahawa aku (diperintahkan) untuk menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu.
Sebagai seorang putera yang menumpukan ketaatan kepada Allah SWT, Nabi Ismail memberikan jawapan bahawa dia rela disembelihkan.
Firman Allah SWT dalam surah Ash-Shaaffat, ayat 102 yang bermaksud:
Wahai ayahku! Jalankanlah apa yang diperintahkan kepada Mu, insya-Allah, ayah akan mendapati (menyaksikan sendiri) daku dari orang-orang yang sabar
Dalam suasana yang mengharukan yang diliputi oleh semangat iman, Nabi Ismail meminta supaya ayahnya melaksanakan perintah Ilahi iaitu menyembelih lehernya. Nabi Ibrahim mencium kening puteranya itu, diletakkan di atas pangkuannya, kemudian pisau yang tajam itu mulailah menyembelih leher di atas anaknya yang tabah itu.
Pada saat yang mengharukan itu Allah SWT menunjukkan kekuasaannya, melakukan apa yang dikehendakinya. Putera yang disembelih pada waktu itu bukanlah Nabi Ismail, tetapi seekor kibasy (kambing biri-biri) yang muncul secara tiba-tiba menggantikan leher Nabi Ismail. Dengan demikian, Nabi Ismail Alaihissalam terlepas dari ragutan maut.
Sejak waktu itulah Nabi Ibrahim melakukan ibadat korban dengan menyembelih haiwan secara tertib dan teratur. Amalan ini seterusnya menjadi amalan umat Islam.
Firman Allah SWT dalam surah Al-Kautsar, ayat 1-2 yang bermaksud:
Sesungguhnya kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan akhirat). Oleh itu sembahyanglah kerana Tuhan-Mu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai tanda bersyukur).
Kesimpulannya melaksanakan korban dengan menyembelih binatang ternakan di hari raya ini, bukan sahaja sebagai mensyukuri nikmat Allah SWT yang telah memberikan rezeki kepada kita dan secara tak langsung menghubungkan talian kalian antara si pemberi dan penerima yang mempunyai kemampuan dan kekurangan. Orang-orang yang hidupnya kurang berkemampuan akan merasa gembira dan merasa bahagia. Ibadat korban dapat merapatkan jurang antara yang kaya dengan yang miskin. Ibadat korban dapat mengikis sifat bakhil atau terlalu sayangkan harta. Ibadat korban juga dapat membersihkan jiwa manusia dari sifat keji di samping menggilap kembali sifat kemanusiaan yang murni, kerana berkorban benar-benarkan berkehendakkan keikhlasan dan kemurahan hati.

No comments:
Post a Comment